Picture:
Aku menuju ke peti surat dan mengambil dua keping kad Raya yang dihantar oleh suami yang masih 'disimpan' oleh Hamid Albar di Kem Kamunting. Satu untuk ku dan satu untuk Suhaib.
Iklan
Jariku terlalu ingin untuk mengoyak dan membaca isinya tetapi segera disergah oleh Suhaib yang akan di hantar ke sekolah untuk program iktikaf dan mukhayyam.
"Ummi, kita baca kad dalam kereta saja lah, dah lewat ni..," kata-kata itu mematikan segala keinginan tersebut.
Aku memandu agak perlahan. Suhaib yang kelihatan agak ceria, memasang memasang radio dan sesekali tersenyum mendengar celoteh DJ bertugas.
"Bacalah kad yang abah kirim tu" kataku sambil menjeling padanya yang tersandar disebelah ku. Dia segera mencapai envelope putih bersaiz 4 x 8 inci itu mengoyakkan kulit dan mengeluarkan isinya. Sebuah kad raya yang manis warnanya, coklat dengan kombinasi keemasan.
Suhaib membaca seketika, tapi kemudian segera meletakkan kad itu di dalam laci dashboard.
Wajahnya tiba-tiba muram dan muncungnya kelihatan agak panjang.
"Kenapa ni? Apa yang abah tulis? Abah marah Suhaib ke" tanya ku bertalu-talu.
Suhaib mendiamkan diri. Wajahnya dihalakan ke arah tingkap sebelah kiri.
Aku sudah masak benar dengan sikap orang bujang di sebelahku ini. Malas nak layan. Kami berdua sama-sama membatukan diri.
Perjalanan dari Keramat ke Gombak terasa begitu lama sekali. Tiba di laman sekolah, Suhaib segera menghulurkan tangan, bersalam dan mencium tanganku.
Aku ingin mencium pipinya tetapi cepat-cepat dia memalingkan wajahnya. Aku perasan hidung dan matanya merah sedikit.
Tanpa sepatah kata, terus saja dia membuka pintu kereta dan berjalan meninggalkan ku yang masih termangu-mangu.
Aku mencapai kad raya di laci kereta dan meneruskan perjalanan menghala ke Hulu Kelang. Aku cuba membaca kad Raya itu,tetapi tulisan yang agak halus itu menyukarkan aku memahami isi kandungannya.
Aku memberhentikan kereta di tepi jalan dan melihat kad itu semula.
"Suhaib, di Hari Raya ini, abah mohon jutaan maaf kerana sejak tujuh tahun yang lalu, abah tak pernah belikan baju Raya dan kasut baru untuk Suhaib. Abah juga terlalu ingin untuk membawa Suhaib ke kedai dan membeli barang-barang yang Suhaib suka.
"Abah juga minta maaf kerana tidak dapat membesarkan Suhaib dan memberi didikan yang baik sepertimana bapa orang lain. Abah terlalu rindu untuk bersama-sama Suhaib dan Umi dan menyambut Raya macam orang lain....."
Ohhhh! Inikah ucapan yang menyebabkan Suhaib muncung macam ikan todak. Aku pun terasa sayu juga membaca ucapan itu.Air mataku sendiri bergenang. Nasib baik aku sedang bersendirian di kereta.
Pada ketika itu, aku hanya mampu berdoa supaya kezaliman ISA segera di angkat dari keluarga kami. - mr_
Members:
Salam semua pembaca budiman QAF™ , semoga anda semua sihat walafiat disamping menjalani ibadah puasa.
Apabila menjelangnya aidilfitri, semua orang sibuk membuat persiapan terutamanya kaum ibu untuk menyambut hari lebaran yang bakal tiba tidak lama lagi.
‘Raya tahun ni, aku pun nak tukar langsir dan sofa baru, macam jiran sebelah. Kalau dia boleh beli, kenapa aku tidak? Alah… duit tak cukup boleh hutang, lepas raya aku bayar ansur-ansur.’
Inilah antara situasi yang berlaku setiap kali menjelang musim perayaan. Walaupun terpaksa mengikat perut untuk mengumpul wang atau berhutang, ia bukan masalah. Asalkan dapat memenuhi nafsu Raya yang inginkan segalanya serba baru.
Lebih menyedihkan, ada yang sanggup menukar langsir atau sofa baru, meskipun masih elok digunakan. Alasannya hanya kerana orang lain menukar set perabot baru.
Tidak semestinya menyambut aidilfitri semuanya kena baru. Jangan ikut nafsu dan orang lain, tengok orang lain tukar perabot baru, kita pun nak tukar perabot juga. Kalau yang lama masih boleh pakai, kenapa harus kita tukar yang baru ? Bukankah itu satu pembaziran. Inilah fenomena yang berlaku di dalam masyarakat kita hari ini. Malah ada yang sanggup berhutang demi memenuhi keinginan dan kehendak.
Ya…Apabila tengok iklan sama ada kat TV, media cetak dan sebagainya semuanya ada discount sempena musim perayaan. Barang ni murah, barang tu murah…Malah ada syarikat yang menawarkan perkhidmatan ” ambil dulu, bayar kemudian”. Iklan-iklan seperti inilah boleh melonjak lagi nafsu kita untuk memiliki sesuatu barang walaupun diluar kemampuan. Oleh kerana terpedaya dengan iklan-iklan sedemikian, tanpa kita sedari, kita telah terperangkap dengan hutang.
Oleh itu, kita hendaklah merancang dan berbincang dahulu sebelum berbelanja. Tengok kemampuan kewangan kita. Jangan mudah terpedaya dengan orang lain dan iklan-iklan seperti disebut di atas agar kita tidak terjerumus dengan bebanan hutang yang banyak.
Sebaiknya kita hendaklah senaraikan dahulu perkara-perkara yang ingin dibeli mengikut keperluan. Sekiranya barang itu masih boleh digunakan maka tidak perlu kita menukarnya dengan yang lain. Elakkan daripada pembaziran.
Islam mengalakkan kita supaya bersederhana dalam semua perkara dan melarang berlebih-lebihan kerana ia adalah satu pembaziran. Dan Islam juga tidak mengalakkan umatnya berhutang kerana ia boleh membawa kepada kepapaan.
Justeru itu, kalam ini menyarankan agar belanjalah secara berhemah. Bukan tidak boleh kita berbelanja, tetapi berbelanjalah mengikut kemampuan dan keperluan. Elakkan pembaziran dan berhutang. Oleh itu, rancanglah bajet raya secara bijaksana agar kita tergolong di dalam orang-orang yang bersederhana, bukannya tergolong di dalam golongan orang-orang yang berlebih-lebihan.
Adab berpakaian, makan dan minum [Al-A"raaf]:
Catatan Terbaru Catatan Lama Laman utama












